PETALING JAYA: Tiada ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri setelah pengesahan calon-calon dipersembah kepada Istana Negara.

Dalam satu kenyataan dari Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadap pada pukul 4.30 petang ini.

“Setelah dipersembah hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda, mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri, seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Kendatipun begitu, setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Justeru beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong menasihatkan rakyat dapat bersabar sementara waktu.

“Seri Paduka menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia Ke-10, selesai.

“Seri Paduka mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya. – UTUSAN

The post Tiada sesiapa dapat majoriti mudah, Agong titah PH  dan PN menghadap petang ini appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *