KLANG: Calon Bebas, J.R Deepak Jaikishan menafikan dirinya ‘dibeli’ dan diupah parti tertentu untuk bertanding di kerusi Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegas ahli perniagaan itu, objektif utama beliau bertujuan memperjuangkan hak rakyat secara berani dan benar.

“Keputusan saya untuk bertanding adalah untuk menang dan mahu terus membawa suara mereka ke Parlimen.

“Saya peniaga yang amat berjaya dan tiada tanda harga untuk dibeli atau diupah oleh mana-mana pihak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Jelas Deepak, perkara utama yang menjadi fokus beliau semestinya isu banjir yang masih membelenggu rakyat di daerah ini.

“Jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen, saya mahu menawarkan langkah jangka masa pendek dan panjang komprehensif bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Saya menyasarkan tempoh 100 hari boleh dilakukan sebagai tindakan awal untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri,” ujarnya.

 Tambah beliau, penerimaan pengundi terhadap dirinya amat positif sepanjang kempen yang hanya berbaki tiga hari.

 “Saya berpegang kuat kepada prinsip berkhidmat untuk rakyat secara telus dan saksama. Selain itu, saya mahu membuktikan bahawa platform Bebas mampu menjadi wakil rakyat berwibawa tanpa unsur kepartian,” katanya.

Perebutan kerusi Parlimen Klang itu menyaksikan pertembungan tujuh penjuru melibatkan lima calon parti politik dan dua Bebas iaitu Tee Hooi Ling mewakili Barisan Nasional (BN), V. Ganabatirau (PH), P. Jaya Chandran (PN), Loo Cheng Wee (Warisan) dan S. Chandrasegar (PRM).

  Selain Deepak, kerusi itu disaingi calon Bebas, Hedrhin Ramli. – UTUSAN

The post Tiada ‘tanda harga’ untuk beli saya – Deepak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *