PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan bahawa belum ada lagi warga Malaysia yang menjadi mangsa dalam kejadian gempa bumi di wilayah Aceh, Indonesia pagi tadi.

Malah, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan mengesahkan tiada rakyat negara ini terlibat dalam insiden bencana berkenaan di wilayah tetangganya, Sumatera Utara.

“Setakat ini pihak berkuasa di republik itu melaporkan tiada sebarang kehilangan nyawa namun kerosakan harta benda masih lagi dinilai,” kata Wisma Putra menerusi kenyataan.

Gegara itu yang berkekuatan 6.2 skala Magnitud pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia) kira-kira 47 kilometer di arah tenggara daerah Aceh Singkil.

Gempa kuat tersebut walau bagaimanapun tidak pula mencetuskan tsunami tetapi dapat dirasai jelas di tiga daerah yang berhampiran dengan durasi selama tiga hingga 10 saat.

Situasi berkenaan menyebabkan ramai penduduk setempat yang panik namun pihak berkuasa sudah menggerakkan pasukan untuk memantau keadaan di kawasan terbabit.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, sekiranya ada warga Malaysia di situ memerlukan bantuan konsular, mereka boleh segera menghubungi terus Konsulat Jeneral di Medan.

Pejabat misi perwakilan diplomatik Malaysia itu yang terletak di No.43, Jalan Diponegoro, Kecamatan Medan Polonia dapat dihubungi menerusi talian +62 61 4531342 / 4523992.

Konsulat berkenaan yang mula ditubuhkan pihak kerajaan Malaysia pada 1967 lalu turut boleh diajukan sebarang isu melalui saluran e-mel rasminya iaitu [email protected].

Pada 25 Februari 2022 lalu, gempa dengan ukuran kekuatan yang sama pernah melanda  berdekatan ibu wilayah Sumatera Barat, Padang dan juga tiada ancaman dikeluarkan. – UTUSAN

Kapsyen: CANSERI Konsulat Jeneral Malaysia di Jalan Diponegoro, Medan, Sumatera Utara, Indonesia. – Ihsan Wisma Putra.

The post Tiada warga Malaysia terlibat dalam gempa di Aceh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *