KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan isu perkauman dan agama untuk mendapat perhatian dan sokongan masyarakat sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Tegas baginda, perbuatan tersebut harus dihentikan serta-merta malah jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam.

“Kepelbagaian kaum, adat resam dan latar belakang agama yang ada di Malaysia bukanlah satu halangan kepada pembentukan masyarakat yang  harmoni dan bersatu-padu.  

“Namun, sejak akhir-akhir ini, terdapat sesetengah pihak yang menggunakan isu perkauman dan agama untuk mendapat perhatian dan menarik sokongan masyarakat. Ini adalah merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan harus dihentikan serta-merta malah perbuatan ini juga jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

“Rakyat negeri ini seharusnya teguh bersatu sebagai bangsa Malaysia yang mempunyai semangat kebersamaan dengan mengukuhkan nilai kesepakatan, perpaduan dan memelihara keharmonian yang berkekalan,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-75 baginda di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Baginda dalam pada itu turut mengingatkan pemimpin yang telah diberikan mandat untuk berkhidmat supaya meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri masing-masing.

Menurut Tuanku Muhriz lagi, demokrasi yang diamalkan di Malaysia telah memberi peluang kepada setiap rakyat berumur 18 tahun ke atas untuk memilih pemimpin yang akan menerajui pemerintahan negara. 

“Pemimpin yang telah diberikan mandat, perlu mempunyai keikhlasan yang tinggi untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat dan meletakkan kepentingan negara jauh melebihi  kepentingan sendiri. 

“Konflik dan budaya politik sempit yang berterusan hanya memperlihatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak stabil dan fragile (rapuh).

“Walaupun dalam kalangan kita wujud perbezaan agenda dan ideologi, namun beta yakin tentu ada persamaan terutamanya dalam  agenda pembangunan dan kebajikan rakyat untuk membentuk negara yang lebih makmur,” titah baginda.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam sembah ucapan tahniah dan taat setia Hari Keputeraan Ke-75 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkata, kerajaan Negeri Sembilan hari ini bertambah kukuh dengan perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu. 

“Wadah politik melalui pembentukan kerajaan perpaduan atas titah perkenan dan wewenang Seri Paduka Yang  di-Pertuan Agong dan dukungan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu telah mengakibatkan gencatan politik beberapa parti utama di Malaysia.

“Tempiasnya salju politik turut dirasai di Negeri Sembilan untuk kita menghirup udara politik yang lebih segar di bumi Adat Perpatih ini.

“Kerajaan pimpinan patik sentiasa bersedia meneliti perancangan pembangunan dan konsensus pemimpin di Negeri Sembilan bagi memenuhi harapan dan inspirasi rakyat jelata,” kata Aminuddin lagi.

Sementara itu, seramai 540 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-75, Tuanku Muhriz dengan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik dan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir mengetuai senarai penerima.

Kedua-dua mereka dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SNSS) yang membawa gelaran Datuk Seri.-UTUSAN.

The post Tidak bertanggungjawab guna isu kaum, agama tarik sokongan – Tuanku Muhriz appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *