KUCHING: Tidak dinafikan bahawa Sarawak dan Sabah menjadi sebahagian daripada tiga entiti yang menubuhkan Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, walaupun terma rasmi untuk Sarawak dan Sabah masih belum dimuktamadkan, tetapi jelas tanah Borneo adalah sebahagian daripada entiti penubuhan itu.

“Bagi kita menukar terma rasmi Sarawak dan Sabah, proses pindaan perlu dilakukan di mana ia perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja dan kemudiannya Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tindakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) peringkat tinggi di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan pusat mengiktiraf status Sarawak dan Sabah sebagai entiti yang bersama Peesekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa terma itu tidak akan menjejaskan rundingan untuk memulihkan hak Sarawak dan Sarawak.

“Namun begitu, kita perlu menghormati proses yang diperlukan untuk pindaan itu.

“Apa yang penting kita mengiktiraf status Sarawak dan Sabah. Pengiktirafan itu ada dan kami jelas tentang status mereka sebagai sebahagian daripada tiga entiti.

“Sebab itu Sarawak ada ‘Premier’. Ia untuk membezakan beliau dengan Menteri Besar (di Semenanjung),” katanya.

Dalam hal lain, Anwar turut menjawab permintaan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari untuk mengecualikan bonus yang diberikan kerajaan negeri daripada cukai.

Beliau berkata kerana bonus yang diberikan tidak seberapa, beliau bersetuju untuk mengecualikan bonus daripada cukai dan memanjangkannya kepada seluruh negara.

“Walaupun ia dicadangkan oleh Premier Sarawak, namun pengecualian ini akan dikenakan kepada semua penjawat awam di negara kita,” katanya.-UTUSAN

The post Tidak dinafi Sabah, Sarawak sebahagian entiti bentuk Malaysia – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *