IPOH: Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan pendekatan lebih matang dengan tidak mencerca atau menyerang peribadi lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua calon PH agar menggunakan pendekatan menerangkan kepada pengundi mengenai pembaharuan yang bakal dibawa oleh pakatan tersebut jika memenangi PRU15.

“Saya tak mahu menang kerana cerca lawan, memburuk-burukkan (peribadi pihak lawan), tak payah. Saya mahu menang insya-Allah kerana keyakinan rakan-rakan (pengundi) tentang apa yang boleh saya lakukan untuk Tambun dan negara Malaysia.

“Dan tengoklah, sepanjang kempen ini, saya juga beritahu kawan-kawan kita (calon PH), tak usah, tak perlu cerca mereka (calon parti lawan). Kalau orang tahu, tahu, tak tahu tak apa, sudah, tapi kita kena jaga ini (tidak mencerca dan memburukkan pihak lawan),” tegasnya.

Beliau berucap pada perjumpaan bersama veteran tentera di Dewan Orang Ramai Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Batu 10, Chemor dekat sini, hari ini.

Anwar juga menafikan dakwaan bahawa PH tidak menjaga prinsip Perlembagaan negara jika memerintah terutama dalam menjaga kedudukan orang Melayu dan Islam, tetapi berhasrat mahu terus memelihara kedudukan perlembagaan tersebut.

Jelasnya, walaupun beliau berkawan baik dengan DAP dan memerlukan sokongan pelbagai kaum, itu bukan bermakna PH mahu mengabaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Budaya bangsa Melayu dan Islam agama Persekutuan, tidak pernah kita pertikaikan,” jelas beliau. – UTUSAN

The post Tidak mahu menang dengan cerca pihak lawan – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *