SAUDARA PENGARANG,

SAYA menyokong penuh penutupan premis perjudian dan loteri oleh kerajaan negeri Kedah walaupun mendapat reaksi negatif terutama di pihak DAP dengan pelbagai alasan antaranya langkah itu tidak akan menyelesaikan masalah maksiat dan gejala sosial serta boleh menggalakkan kegiatan judi tanpa lesen.

Langkah kerajaan Kedah bermula 1 Januari lalu yang mengikuti contoh Kelantan dan Terengganu mungkin lebih mengutamakan kesan sosial dan politik daripada kerugian dari segi pendapatan cukai iaitu kira-kira RM400 juta.

Syabas kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang tidak memandang kepada keuntungan daripada cukai judi. Jika kita melihat kegiatan perjudian dan loteri ini, tiada langsung kebaikan kepada rakyat.

Akibat kegiatan perjudian seperti ketiadaan wang setelah kalah berjudi dan loteri, timbul perbuatan mencuri harta benda dan keluarga terabai. Penutupan pusat judi ini juga sebagai langkah membendung remaja daripada menjadi kaki judi.

Alasan DAP yang menolak langkah itu seolah-olah hanya mementingkan aspek perniagaan dan keuntungan semata-mata. Rasanya tiada mana-mana kaum yang mengatakan judi ini membawa keuntungan besar kerana kita hanya akan mendapat sedikit keuntungan selepas berhabis-habisan mengeluarkan wang.

Pihak DAP hendaklah sedar bahawa mereka tinggal dalam masyarakat majmuk yang rata-rata menolak perjudian. Langkah menutup pusat perjudian dan loteri ini diharapkan diikuti oleh negeri-negeri lain dan tidak mustahil akan dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Begitu juga dengan premis kegiatan tidak bermoral lain seperti kedai arak, kelab malam dan sebagainya tidak mustahil ditutup kerana rakyat sudah faham akan keburukan kepada masyarakat apatah lagi negara ini agama rasmi adalah Islam. – UTUSAN

RAKYAT PRIHATIN
Pahang

The post Tidak memadai Kedah tutup premis judi, loteri sahaja appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *