LIPIS: Hasrat seorang lelaki bertemu keluarganya tidak kesampaian selepas terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 7, Jalan Lipis ke Benta berdekatan Kampung Salang di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 12.08 tengah malam itu, Fadhullah Suhaimi Jaafar, 45, yang memandu bersendirian kereta jenis Proton Wira maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa memandu dari arah Kuala Lumpur menghala pulang ke Kampung Melaka, Kechau di sini.

Difahamkan, dia dalam perjalanan pulang bertemu keluarga sempena cuti Tahun Baharu Cina.

“Setibanya di tempat kejadian, dipercayai kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang hentian bas di tepi kiri jalan raya ke Kuala Lipis. Kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang bekerja sebagai operator jentera meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya semalam.

Menurut Azli, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

The post Tidak sempat jumpa keluarga, lelaki maut kemalangan di Lipis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *