KOTA KINABALU: Ribut yang sering kali melanda perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru membuatkan Zaibidah Mohamad, 51, tidak dapat menghitung berapa kali kediamannya rosak.

Namun, kerosakan yang berlaku kali ini paling dahsyat dalam sejarah kerana rumah yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya musnah sepenuhnya dipukul ombak.

ZAIBIDAH MOHAMAD

Balu yang mempunyai seorang anak itu berkata, rumah yang didiami bersama 10 anggota keluarga yang lain sudah banyak kali terjejas akibat ribut dan air pasang besar.

“Semasa Ribut Greg sebelum ini pun memang rumah kami terjejas tapi, kejadian kali ini yang paling teruk. Biasanya kalau ribut, hanya jambatan sahaja yang rosak namun, kali ini,” katanya semasa ditemui.

Beliau berkata, semasa kejadian ombak besar berlaku, beliau bersama ahli keluarga lain baru selesai makan malam dan sebaik sahaja dinding rumah dipukul ombak, beliau bersama ahli keluarga perempuan segera melarikan diri ke daratan.

Katanya, beliau hanya membawa dokumen penting semasa melarikan diri. Tiada barang yang sempat diselamatkan.

Walaupun berulang kali berhadapan situasi cemas akibat ribut yang melanda namun, mereka tiga keluarga di rumah itu tiada tempat lain untuk berpindah.

“Ikut hati memang kami ingin cari rumah di darat sebab apabila kejadian ribut berlaku kami tidak lagi perlu ketakutan. Tapi, kekangan kewangan menyebabkan kami terpaksa melupakan hasrat untuk berpindah ke daratan,” katanya.

Menurut beliau, selepas ini dengan bantuan kewangan daripada kerajaan, mereka akan membina semula rumah di tapak yang sama.

Katanya, rumah baharu boleh dibina semula dan siap dalam tempoh dua minggu kerana mereka mempunyai kenalan yang boleh membina rumah. -UTUSAN

The post Tidak terhitung berapa kali rumah rosak akibat ribut appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *