KUALA PILAH: Walaupun ada yang menganggapnya sebagai bukan pilihan bagi merebut Parlimen Kuala Pilah, calon Barisan Nasional (BN) di kerusi itu, Datuk Adnan Abu Hassan tetap fokus menguatkan jenteranya bagi menarik minat pengundi.

Beliau berkata, BN tidak berada dalam situasi selesa di Kuala Pilah justeru jentera parti itu kini agresif untuk menemui seramai mungkin pengundi dalam tempoh dua minggu berkempen selain turut menggunakan kaedah secara dalam talian terutama bagi mendekati pengundi muda.

“Saya tidak terancam dengan kehadiran calon-calon lain, saya juga jarang mengukur kekuatan pesaing kerana hanya fokus bagaimana untuk menarik minat pengundi.

“Saya juga bersaing secara sihat, oleh kerana dalam kempen yang juga saya maklumkan  kepada jentera BN Kuala Pilah agar sama sekali tidak serang peribadi calon lain, itu yang perlu dielakkan,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama penghuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Ibol, Terachi di sini hari ini.

Adnan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling berkata, sepanjang lima hari kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang telah berlangsung, beliau yakin rakyat dapat membuat keputusan yang bijaksana dan wajar pada 19 November nanti.

“Saya yakin rakyat sudah bijaksana dan wajar dalam membuat perbandingan mana yang baik mana yang mudarat dan yang mana lebih mudarat. Pengundi di Parlimen Kuala Pilah ialah pengundi bijak yang amat bijak.

“Saya harap mereka bagi sokongan kepada BN, bukanlah kami mahu cakap kami parti yang paling sempurna tetapi track record itu telah menunjukkan kami lebih baik daripada apa yang mereka tawarkan selama 22 bulan,” katanya.

Adnan akan disaingi penyandang Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith yang mewakili Perikatan Nasional (PN), calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad, calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Kamarulzaman Kamdias dan calon dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Azman Idris.

Terdapat seramai 63,247 orang pemilih berdaftar di Parlimen Kuala Pilah pada PRU15 kali ini.-UTUSAN

The post Tidak terjejas dianggap bukan pilihan, Adnan fokus kuatkan jentera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *