KUALA KRAI : Kegiatan tiga beradik yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ membawa syabu bernilai RM5.4 juta menggunakan sebuah lori perabot terbongkar selepas ditahan polis dalam serbuan di lokasi berasingan di Kuala Krai, di sini pagi semalam.
Tiga beradik yang berusia di antara 24 hingga 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.50 pagi ketika sedang memandu sebuah kenderaan Honda City dan sebuah lori perabot.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat intipan pihaknya mengesan sebuah lori membawa muatan perabot terpakai dan sebuah kereta jenis Honda City dari arah Ketereh menuju ke Kuala Krai yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian telah bertindak mengekori lori tersebut sehingga ke Kuala Krai sebelum menahan kenderaan itu di Kampung Kenor dan Kampung Tengah untuk tujuan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori itu membawa kepada penemuan satu plastik hitam yang mengandungi 150 peket plastik yang bertulis ‘Refined Chinese Tea’ disyaki syabu. Kesemua bungkusan plastik itu dijumpai di bahagian belakang lori berkenaan.
“Selain itu, kita turut menemukan tujuh bungkusan plastik berisi cecair disyaki air ketum serta merampas wang tunai berjumlah RM5,146,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini.
MUHAMMAD Zaki Harun (tengah) memeriksa lori yang membawa syabu semasa sidang akhbar di IPD Kuala Krai, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Muhamad Zaki memberitahu, hasil soal siasat yang dilakukan, kenderaan yang digunakan untuk membawa barangan terlarang berkenaan adalah daripada syarikat pengangkutan milik keluarga suspek.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi membuat semakan terhadap setiap kenderaan yang ada dan pihaknya yakin masih terdapat saki baki kumpulan berkenaan.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Februari 2023 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang dan boleh digunakan oleh seramai lebih 1.5 juta orang penagih dadah,” ujarnya.-UTUSAN
The post Tiga beradik guna lori perabot angkut syabu RM5.4 juta appeared first on Utusan Malaysia.