TANJUNG MALIM: Seorang lelaki maut setelah lori kontena dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 382.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Behrang di sini tengah malam tadi menyebabkan laluan ke ibu negara sesak teruk.

Dalam kejadian itu, Mohd. Khairuddin Md. Taharim, 44, ditemukan pasukan penyelamat terperosok bawah kontena membawa muatan besi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Ahmad Nazirulmubin Narodi berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 12.50 tengah malam dengan sepasukan 10 anggota diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Mangsa dipercayai tercampak apabila dia ditemui di bawah kontena. Pasukan mengambil langkah keselamatan awal sebelum melakukan operasi mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berjaya dikeluarkan tiga jam kemudian. Operasi mengambil masa kerana menunggu kren untuk mengangkat kenderaan berat itu,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika menyelamat, sebuah treler muatan paip besi terbabas lalu melanggar dua kereta, sebuah ambulans yang bersedia di lokasi kejadian dan kemudian turut melanggar kontena tersebut.

Katanya, impak kemalangan itu menyebabkan tiga anggota bomba tercampak dan cedera ringan.

Sementara itu, Plustrafik melalui ciapan di Twitternya memaklumkan setakat pukul 6.38 pagi, semua lorong masih terhalang menyebabkan kesesakan lebih empat kilometer.

Kerja pengalihan sedang dijalankan manakala kenderaan ke selatan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Slim River. – UTUSAN

 

 

 

 

The post Tiga jam keluarkan mayat lelaki terperosok bawah kontena appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *