MELAKA: Tiga peniaga berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM108,900.

Kesemua tertuduh, Mohd. Fahmi Fikri Mohd. Nor, 29; Kamaruddin Ab. Kadir, 57, dan Darus [email protected], 49, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan berasingan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Fahmi Fikri didakwa mengemukakan butiran palsu atas nama Perusahaan Arrizqi 46 Enterprise melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud untuk menuntut insentif berjumlah RM38,700 di bawah Program Penjana 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sementara itu, Darus yang merupakan pemilik syarikat DJ Warisan Enterprise didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan tuntutan keseluruhan RM46,400.

Dalam pada itu, Kamaruddin turut didakwa atas kesalahan sama dengan mengemukakan butir nama pekerja baharu yang bukan pekerja atas nama Perusahaan Syafi Muhjah TC melibatkan tuntutan bernilai RM23,800.

Kesemua kesalahan itu dilakukan ketiga-tiga tertuduh di Pejabat Perkeso Melaka antara 9 Mac 2021 hingga 29 Mei 2021.

Tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM10,000 kepada Mohd. Fahmi Fikri dan Kamaruddin, manakala RM15,000 terhadap Darus selepas mengambil kira nilai tuntutan dibuat.

Pendakwaan turut memohon syarat tambahan iaitu pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu nilai jaminan dikurangkan dengan pelbagai alasan antaranya menanggung lima orang anak, tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana sakit tulang belakang serta mempunyai anak orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Fahmi Fikri dan Kamaruddin diikat jamin RM8,000 manakala Darus dengan jumlah RM10,000. – UTUSAN

The post Tiga lagi peniaga didakwa tuntutan palsu Penjana Kerjaya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *