KLUANG: Polis daerah ini memberikan tumpuan khusus terhadap tiga jalan utama yang kerap berlaku kemalangan sepanjang Op Selamat bermula semalam hingga 27 Januari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, pihaknya akan membuat pemantauan menerusi rondaan selain sekatan jalan di kawasan berkenaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kali ini.

“Tiga yang dimaksudkan ialah sepanjang Jalan Batu Pahat-Mersing, Jalan Kluang-Teck Wah Heng dan Jalan Renggam-Simpang Renggam. 

“Kita turut akan mengadakan sekatan jalan di semua pintu masuk ke daerah ini bagi memantau pergerakan kenderaan yang dijangka meningkat mulai Jumaat ini. 

“Sekatan jalan juga bertujuan memastikan tiada unsur jenayah akan dilakukan oleh mereka yang masuk ke daerah ini dengan mengambil kesempatan apabila orang ramai balik ke kampung masing-masing,” katanya selepas melancarkan Op Selamat 19 dengan kerjasama Lion Club Kluang di Kilometer 51, Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Daerah Kluang, Datuk Loh Tien Chuan dan Pengerusi Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kluang, Datuk Teo Ee Piau. 

Dalam pada itu, Bahrain memaklumkan, pihaknya berjaya mengutip bayaran saman sebanyak RM134,090 sepanjang Kempen Bayaran Saman dengan potongan 50 peratus bermula 14 hingga 16 Januari lalu.

Menurutnya, bayaran saman itu meliputi pelbagai kesalahan termasuk membuat halangan lalu lintas dan parkir.

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, beliau menyeru orang ramai yang ingin meninggalkan kediaman atau premis perniagaan mereka supaya memaklumkan kepada pihak polis dengan mengisi borang yang disediakan di semua balai polis di daerah ini. 

Menerusi pemakluman itu, pihak polis akan membuat pemantauan berkala ke atas premis terlibat bagi memastikan tiada kejadian berunsur jenayah berlaku. 

“Saya harapkan orang ramai yang ingin balik ke kampung turut dapat memastikan kesihatan diri dan kenderaan dalam keadaan baik agar tidak mendatang sebarang masalah ketika dalam perjalanan pulang dan balik semula ke Kluang,” katanya. – UTUSAN

The post Tiga laluan kerap kemalangan jadi tumpuan polis Kluang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *