IPOH: Tiga lelaki ditahan setelah didapati mengedar risalah parti politik dalam Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kesemua mereka berusia 19 hingga 33 tahun itu ditahan Provos Tentera Laut (PROTELA) semasa rondaan dijalankan.

“Ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan di pekarangan blok A8 Rumah Keluarga TLDM (RKTLDM) kerana mengedarkan risalah sebuah parti politik.

“Pangkalan TLDM merupakan antara kawasan larangan yang diwartakan berdasarkan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Semua parti bertanding dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, sebanyak 31 laporan polis diterima semalam dan lima kertas siasatan telah pun dibuka.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan laporan polis sejak kempen PRU15 ialah 200 laporan dengan 21 kertas siasatan.

“Lima tangkapan dilakukan setakat ini manakala sebanyak 402 permohonan permit ceramah diterima semalam daripada parti bertanding dengan kesemuanya diluluskan,” katanya. – UTUSAN

 

The post Tiga lelaki ditahan edar risalah politik dalam Pangkalan TLDM Lumut appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *