ALOR GAJAH: Tiga papan kempen memaparkan wajah calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan disembur cat berwarna merah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bukan setakat disembur cat, poster berkenaan turut diconteng dengan perkataan ‘loser’.

Wakil Briged Gempur BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Mohd. Ghazali Baharuddin berkata, tindakan khianat itu berlaku di Taman Manggis berhampiran persimpangan Kampung Bukit Bulat dan persimpangan Kampung Air Pasir.

Menurutnya, perkara tersebut disedari ahli parti yang ketika itu melalui jalan tersebut kira-kira pukul 8.00 pagi tadi.

“Yang menjadi pelik beberapa poster calon-calon lain yang bertanding tidak pula diconteng atau disembur cat berwarna merah.

“Tindakan ini saya anggap sebagai tidak bertamadun dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab seolah-olah dengki terhadap calon BN bertanding di sini.

“Perbuatan ini sangat menjengkelkan dan keanak-anakan dan kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut kerana cuba mengaibkan calon BN,” katanya dalam sidang akhbar di persimpangan Kampung Air Pasir di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pukul 11.00 pagi tadi.

“Kami harap pelaku ini diambil tindakan sewajarnya oleh pihak polis dan dikenakan hukuman yang setimpal,” ujarnya. – UTUSAN

The post Tiga papan kempen Shahril Hamdan disembur cat merah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *