TAPAH: “Tiga tahun tiada untung tetapi kami terus berniaga kerana tak mahu perniagaan ini ditutup. Semuanya disebabkan harga dedak melonjak.”

Itu luahan seorang penternak ayam telur, Koo Yin Cheong, 61, di Ayer Kuning di sini, berhubung kekurangan bekalan telur di pasaran termasuk di daerah Hilir Perak.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Yin Cheong berkata, harga dedak untuk makanan ayam iaitu jagung naik daripada RM800 satu tan metrik sebelum ini kepada sekitar RM1,600 satu tan metrik disebabkan penurunan nilai mata wang ringgit kerana dedak diimport dari Amerika Syarikat.

Katanya, harga dedak yang tinggi menyebabkan kos ternakan mereka juga meningkat.

Jelasnya, selain kos meningkat, penternak terikat dengan harga jualan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini perniagaan keluarga, sudah berusia 50 tahun. Sebelum ini tiada masalah harga dedak namun sejak kenaikannya yang hampir sekali ganda menyebabkan pengeluaran telur terhad, jika tidak kami rugi besar.

“Sekarang saya terpaksa mengehadkan penjualan kepada pelanggan. Kalau minta 100 papan, saya cuma mampu beri separuh iaitu kira-kira 50 papan supaya pelanggan yang lain juga mendapat bekalan selain saya juga mempunyai lori yang menghantar kepada pelanggan tetap.

“Jika diikutkan sukar untuk kami bertahan disebabkan kenaikan harga dedak tapi teruskan juga kerana tidak mahu perniagaan ini ditutup,” katanya ketika ditemui semalam.

Yin Cheong berkata, selain itu, langkah kerajaan menetapkan harga siling telur di bawah barang kawalan menjejaskan keuntungan kerana kos ladang lebih tinggi daripada harga siling ditetapkan.

Katanya, sebagai contoh kos untuk sebiji telur ayam gred A ialah kira-kira 50 sen sedangkan harga siling yang ditetapkan bagi telur ayam gred A ialah 42 sen sebiji.

Jelasnya, kos yang sama terpaksa dikeluarkan untuk telur gred B dan gred C iaitu pada kos 50 sen sedangkan harga subsidi telur gred B ialah 40 sen manakala telur gred C ialah 38 sen sebiji.

“Dengan keadaan itu bagaimana kami nak tampung kos pengeluaran. Ini menyebabkan bekalan telur dan ayam berkurangan di pasaran,” katanya. – UTUSAN

The post Tiga tahun tak untung sebab harga dedak melambung appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *