JOHOR BAHRU: Tiket bas ke negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung hampir habis dijual menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Mohd. Helmi Mohd. Affendi berkata, pihaknya akan membuka tempahan bagi bas-bas tambahan untuk ke negeri-negeri terlibat bagi memenuhi permintaan.

Walau bagaimanapun katanya, tiket perkhidmatan bas untuk ke negeri-negeri di tengah pantai barat Semenanjung seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Lembah Klang masih boleh diperoleh.

“Dalam tempoh beberapa hari yang lepas ini, kita dapat lihat peningkatan tempahan tiket bas, khususnya bagi destinasi utara dan pantai timur sempena pilihan raya.

“Kami jangka untuk hari ini dan esok, semakin ramai orang akan datang ke sini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Helmi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan permit kepada syarikat bas bagi membenarkan bas tambahan beroperasi dan menambah jumlah perjalanan.

“Dengan tiket bas ke negeri pantai timur dan utara telah hampir habis dijual, perjalanan tambahan akan dibuka ke destinasi tersebut bermula hari ini hingga Isnin depan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mahu mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung halaman masing-masing boleh berbuat demikian secara dalam talian dengan melayari laman web www.golarkin.com.my,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pembeli tiket untuk datang sekurang-kurangnya 30 minit awal ke Terminal Larkin Sentral bagi memudahkan urusan mereka.

“Kita jangka terdapat peningkatan jumlah pengunjung di premis ini, melibatkan pembeli tiket bas dan pengunjung yang berbelanja di pasar awam dan kedai-kedai yang terdapat di sini,” katanya. – UTUSAN

The post Tiket bas ke utara, pantai timur laris appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *