PADANG BESAR: Calon Bebas bagi kerusi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, Datuk Zahidi Zainul Abidin hairan dengan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakan calon UMNO di kawasan Parlimen berkenaan walaupun mengetahui calon terbabit masih dalam edah.

Menurutnya, tindakan Ahmad Zahid meletakkan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan juga dilihat seolah-olah cuba menipu pengundi.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan niat sebenar Ahmad Zahid dan melontarkan persoalan adakah Presiden UMNO itu langsung tidak mengetahui hukum-hakam agama Islam apabila melibatkan wanita masih dalam edah setelah kematian suami.

“Apa niat sebenar Ahmad Zahid yang seolah-olah tidak tahu hukum-hakam agama Islam melibatkan edah ini.

“Sebelum ini para pengundi tidak mengetahui kedudukan sebenar Zahida Zarik Khan.

“Tindakan Ahmad Zahid itu seolah-olah cuba menipu pengundi di Padang Besar,” katanya ketika dihubungi.

Zahidi seterusnya meminta para pengundi mendapatkan penjelasan dan hukum daripada ahli-ahli agama termasuk mufti mengenai hukum meletakkan calon yang masih dalam edah pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU 15).

Di samping itu katanya, tindakan Ahmad Zahid menggugurkan sekurang-kurangnya 10 pemimpin UMNO dari bertanding di kawasan masing-masing dengan alasan mahu memberi peluang kepada golongan muda adalah tidak boleh diterima.

Ini kerana, jelas beliau, kenapa masih ada pemimpin lama dan  juga yang sudah berusia tetapi masih kekal dicalonkan di kawasan mereka.tertentu.

“Ahmad Zahid sendiri sudah berusia kira-kira  69 tahun, Namun ada dari kalangan pemimpin UMNO yang digugurkan itu berusia 60 tahun berbanding dengan usia Presiden UMNO.

“Dalam hal ini, kenapa Ahmad Zahid sendiri tidak berundur  dan beri laluan kepada golongan muda kerana usia beliau pun sudah hampir 70-an,” katanya.

Zahidi turut mendedahkan, apa yang dilakukan oleh Ahmad Zahid itu juga akan menyebabkan kerusi yang disandang oleh UMNO sebelum ini akan terlepas kepada parti lain.

Ini kerana, jelasnya, calon-calon yang diletakkan itu bukan calon boleh menang berbanding pemimpin yang digugurkan oleh parti.

“Bukan sahaja bukan calon boleh menang, malah calon-calon itu didatangkan dari luar kawasan dan bukan anak tempatan. Juga calon-calon yang diletakkan ini tidak pernah datang ke kawasan yang ditandingi. Mereka hanya muncul apabila PRU 15 setelah diletakkan di kawasan berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, tindakan berkenaan akan menyebabkan calon berkenaan sukar diterima oleh para pengundi setempat. – UTUSAN

The post Tindakan letak calon dalam edah cubaan tipu pengundi – Zahidi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *