KUALA TERENGGANU: Seorang ibu sanggup meredah kepulan asap tebal untuk menyelamatkan anak bongsunya berusia enam bulan dalam kebakaran di Kampung Panji Alam di sini, malam tadi.

Tindakan pantas Norazrina Mohamad, 30,  itu  menyelamatkan nyawa anaknya, Nur Shasya Erliya Shazrol Sharifuddin setelah rumah mereka terbakar kira-kira pukul 9 malam.

Norazrina berkata,  dia menduduki rumah tersebut bersama  suaminya, Shazrol Sharifuddin Sulaiman, 32, serta tiga cahaya mata berusia antara enam bulan sehingga enam tahun.

Namun, menurutnya,  ketika kejadian, dia hanya bersama anak bongsu, Nur Shasya Erliya  manakala dua lagi anaknya berada di rumah nenek mereka yang terletak bersebelahan.

Katanya, kejadian itu disedari setelah kepulan asap hitam tiba-tiba memenuhi ruang tamu rumah berkenaan sebelum keluar dan melihat api membakar bahagian bawah rumah.

“Lima minit sebelum kejadian, suami saya baru keluar rumah membeli makan malam untuk saya sebelum terhidu bau asap. Sebaik sahaja melihat asap hitam di bahagian ruang tamu, saya keluar dan mendapati api datang dari bahagian bawah rumah dan saya bergegas masuk semula ke dalam rumah. Dalam keadaan asap hitam semakin memenuhi ruang, saya mendapatkan Nur Shasya Erliya   dan kami keluar daripada rumah.

“Tidak dapat dibayangkan nasib menimpa anak bongsu saya itu jika saya terlewat sedikit. Saya cuba masuk semula ke dalam rumah mendapatkan dokumen penting namun dihalang orang ramai,” katanya ketika ditemui di Kampung Panji Alam.

Norazrina bersyukur keluarganya terselamat dalam kebakaran itu walaupun tinggal sehelai sepinggang dan tidak dapat menyelamatkan harta benda.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.11 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

Menurut beliau, setibanya di tempat kebakaran dengan kekuatan 20 orang pegawai dan anggota serta empat jentera, didapati rumah diduduki keluarga itu dijilat api 100 peratus.

Jelasnya, kebakaran itu mengakibatkan tiga buah motosikal milik mangsa juga musnah selain merebak ke dua buah rumah jiran mangsa terletak bersebelahan.

“Bagaimanapun dua buah rumah berdekatan diselamatkan dan hanya terbakar lima peratus. Kebakaran dikawal dalam masa 15 minit sebelum operasi tamat pukul 10 malam. Punca dan anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya, – UTUSAN

The post Tindakan pantas ibu selamatkan nyawa anak dalam kebakaran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *