PETALING JAYA: Pemegang sukuk Menara ABS dijangka mengalami kerugian sehingga ratusan juta ringgit apabila Telekom Malaysia (TM) membuat keputusan untuk menamatkan sebahagian besar sewaan bangunan ibu pejabatnya yang terletak di Bangsar, dekat sini.

Pemegang sukuk Menara ABS terdiri daripada institusi pelaburan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Sumber industri sukuk berkata, kerugian besar itu akan turut memberi kesan kepada ahli-ahli dan pendeposit dua institusi tersebut.

“KWSP mungkin tidak begitu terkesan kerana ini bukan pelaburan yang besar bagi mereka, tetapi ini akan memberi kesan kepada TH dan jutaan pendepositnya,” katanya.

TM dan anak syarikatnya kini hanya akan menyewa kira-kira 10 peratus ruang pejabat Menara TM, penurunan yang ketara dari 70 peratus sebelum ini.

Pelaburan KWSP dan TH dalam sukuk Menara ABS pada 2008 merupakan detik bersejarah kepada TM yang memerlukan dana untuk projek internet jalur lebar yang kini dikenali sebagai Unifi.

Sumber berkata, melalui sukuk Menara ABS yang bersandarkan aset hartanah Menara TM dan beberapa hartanah lain, TM mengumpulkan kira-kira RM1 bilion untuk projek internet jalur lebar.

“Namun, apabila sukuk sudah hampir matang pada awal tahun depan, TM telah berubah fikiran dan mengambil keputusan untuk tidak membeli semula hartanah di bawah sukuk Menara ABS dan juga untuk berpindah dari bangunan ibu pejabatnya itu.

“Keputusan ini bakal mengakibatkan kerugian kepada institusi pelaburan negara di kala pasaran pelaburan yang amat mencabar,” ujarnya.

Pada masa sama, TM telah mengumumkan keuntungan bersih yang meningkat lebih 20 peratus kepada RM983.1 juta untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2022. – UTUSAN

The post TM tamatkan sewa ibu pejabat, pemegang sukuk rugi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *