PETALING JAYA: Telekom Malaysia Bhd. (TM) menjelaskan penumpuan usaha dan sumber untuk mengukuhkan perniagaan teras membuatkan syarikat itu memutuskan tidak memperbaharui konsesi operasi serta penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur (Menara KL). 

Ia susulan isu tular mengenai penjualan saham pengurusan Menara KL kepada syarikat lain yang diragui kemampuannya. 

TM dalam kenyataan memaklumkan, Menara KL dimiliki kerajaan dengan operasi dan penyelenggaraan diberikan kepada konsesi. 

Menurut syarikat itu, TM melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd (MKLSB) telah melaksanakan konsesi itu sejak 1996. 

Bagaimanapun, syarikat itu telah memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL pada Oktober 2021 dan telah memaklumkan perkara tersebut kepada kerajaan. 

“Sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaan, TM menumpukan usaha dan sumber mengukuhkan perniagaan teras iaitu telekomunikasi dan teknologi. 

“Selepas pertimbangan yang sewajarnya mengenai perubahan sifat perniagaan Menara KL daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM telah memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi pada Oktober 2021,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, TM memaklumkan, proses pemilihan syarikat konsesi baharu itu telah diambil alih kerajaan dengan TM dimaklumkan mengenai syarikat yang dilantik untuk mengambil alih saham MKLSB dan konsesi Menara KL. 

Katanya, MKLSB hendaklah terus mengendalikan konsesi dan memastikan kesinambungan operasi Menara KL untuk orang awam termasuk pelancong antarabangsa. 

“Pekerja akan kekal bekerja dengan MKLSB di bawah syarikat konsesi baharu pada kadar minimum tiga tahun. Ini bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara dalam peralihan ini.

“Dalam pengumuman kewangan suku ketiga 2022 kepada Bursa Malaysia, rujukan telah dibuat dalam perubahan seterusnya kepada pegangan saham dalam MKLSB.  

“TM mengamalkan tadbir urus yang baik dan ketelusan dalam usaha perniagaan kami untuk memelihara kepentingan pelanggan dan pihak berkepentingan. 

“TM juga akan memberikan kerjasama dan pendedahan penuh kami seperti dikehendaki pihak berkuasa,” katanya. 

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

Difahamkan, pemindahan semua 10 juta saham MKLSB berlaku pada 31 Oktober ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Annuar bagaimanapun menegaskan tiada kena mengena dengan pemindahan saham TM melalui MKLSB kepada syarikat berkenaan. 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengesahkan saham syarikat pengurusan Menara Kuala Lumpur telah dijual oleh TM kepada sebuah syarikat yang hampir ditutup bernama Hydroshoppe Sdn Bhd. – UTUSAN

The post TM tidak perbaharui konsesi Menara KL untuk kukuhkan perniagaan teras appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *