PETALING JAYA: Pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas sesetengah negeri yang enggan menukar rumput padang stadium kepada jenis Zeon Zoydia atas alasan kos penyelenggaraan tinggi biarpun telah diberikan tawaran menarik oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Januari lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempengerusikan mesyuarat pertama KBS bersama exco setiap negeri menawarkan dana geran padanan untuk menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia, sama seperti yang terdapat di Stadium Sultan Ismail (SSI), Iskandar Puteri berbanding jenis yang digunakan kebanyakan stadium ketika ini iaitu Cowgrass, namun pihaknya masih menantikan maklum balas daripada pihak negeri mengenai tawaran tersebut.

Tunku Ismail yang ditemui ketika melancarkan Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bersama, Hannah semalam menjelaskan tawaran tersebut bakal memberikan kesan positif untuk keseluruhan ekosistem bolasepak tempatan yang akhirnya bakal memberikan keuntungan kepada skuad kebangsaan.

“Mungkin mereka tidak tak tahu apa apa pasal bola sepak, itu salah satu faktor, dan mungkin mereka tidak mempunyai semangat yang tinggi dalam sukan tersebut ataupun tiada agenda jangka panjang, kerana kalau kami dapat lihat mana-mana negara yang maju dalam industri bola sepak, semuanya memberikan keutamaan terhadap padang dahulu, kerana padang itu mecerminkan pihak pengurusan.

“Saya pun tidak faham, kadang kadang saya pun tertanya-tanya juga, tetapi inilah masa untuk berubah, jadi saya berharap apa yang YB Hannah buat, KBS memberikan satu inisiatif tawaran untuk mempertingkatkan padang-padang di setiap stadium yang berada dalam negara adalah satu tawaran yang sangat baik dan saya berharap ia akan disambut oleh kelab-kelab yang adalam dalam negara ini, dan secara tidak langsung ia memberikan peningkatan kepada setiap pasukan dan kesan akhirnya kepada skuad kebangsaan. 

“Bagi pandangan saya, penyelenggaran bukan satu alasan kerana bajet yang paling kurang dalam pasukan Liga Super pada hari ini adalah RM 8 juta, penyelengaraan padang pula tidak melebihi RM 300,000 untuk setahun, mana logik jika tidak boleh jaga padang,” jelas Tunku Ismail.

Tambah Tunku Ismail, pendirian negeri lain untuk tidak menukar rumput bagi membolehkan mereka mempunyai kelebihan ke atas JDT juga tidak berasas kerana sepanjang 11 tahun menguruskan gergasi Harimau Selatan itu, mereka sudah pun mendominasi Liga Super selama  sembilan tahun berturut-turut sejak 2014.

“Kalau kita tengok di Malaysia, saya sudah berada dalam industri bola sepak selama 11 tahun, dan apa yang saya nampak, kami letak kewangan kami untuk benda yang tak berfaedah, macam contoh kita tak nak tukar padang kerana untuk saingan domestik, ia akan memberikan impak negatif buat pasukan Johor Darul Takzim, tetapi 11 tahun pun tiada orang sedar lagi, benda itu tidak langsung memberikan impat kepada kami.

“Sekarang ini kita harus fikirkan dari sudut yang lebih besar, kerana pasukan kebangsaan adalah keutamaan kerana kita mempunyai beberapa kejohanan dimana yang saya rasa kita mempunyai harapan untuk pergi jauh,” tambah Tunku Ismail.

Proses transformasi rumput dan baik pulih SNBJ akan bermula 1 April ini dan dijangka akan siap dalam tempoh enam bulan. Kali terakhir rumput di SNBJ ditukar adalah pada tahun 2015.

 

The post TMJ pelik pasukan Liga Super tolak tawaran KBS tukar rumput stadium appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *