REMBAU: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disaingi empat calon lain dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang mewakili Barisan Nasional (BN) menerima cabaran daripada calon Pakatan Harapan (PH) Jufitri Joha dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus.

Turut memberikan saingan dalam pertembungan lima penjuru itu ialah, calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Ramly Awalludin dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Tinagaran.

Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Rembau, Mohamad Najib Mustafa di Pusat Penamaan Calon, Dewan Sri Rembau pada pukul 10.30 pagi tadi.

Mohamad Najib berkata, beliau berpuas hati selepas menyemak kertas-kertas penamaan dan tidak ada calon yang ditolak pencalonan.

Sementara itu, calon BN, Mohamad berkata, selepas selesai proses penamaan, beliau berharap proses seterusnya iaitu kempen pilihan raya dapat berjalan dengan tersusun dan teratur.

“Kami tidak mahu mengusik sesiapa kerana tujuan kita mengadakan pilihan raya ini adalah untuk memilih parti yang akan diberikan mandat oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan, iaitu kerajaan yang mesti mantap dan stabil,” katanya.

Menurut Jufitri pula, sebagai anak jati Rembau beliau juga mempunyai peluang untuk membuat kejutan selain melihat perlunya seorang wakil rakyat yang ‘segar’ dan baharu.

“Saya juga mempunyai pengalaman mempimpin sebuah organisasi yang besar iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM) dan saya mahu tumpahkan pengalaman saya itu dengan mewakili pula suara belia dan masyarakat di Rembau,” katanya.

Bagi Mohd. Nazree, menyedari masyarakat khususnya anak-anak muda yang dilihat semakin pro kepada kebenaran, ilmu dan ekonomi, beliau mewakili PN di Rembau juga akan memberi tumpuan khusus dalam perkara berkenaan.

“Ia supaya kita dapat pastikan bahawa Parlimen Rembau menjadi salah sebuah kerusi Parlimen yang dapat disumbangkan kepada PN seterusnya mentadbir negara,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi Parlimen Rembau dimenangi oleh Khairy Jamaluddin dengan majoriti 4,364 undi. Khairy mendapat sebanyak 36,096 undi menewaskan calon PKR, Lt. Kol. (B) Roseli Abdul Ghani yang mendapat 31,732 undi manakala calon Pas, Mustafa Dolah memperoleh 6,028 undi.

Terdapat seramai 133,555 orang pemilih berdaftar di Parlimen Rembau dengan meliputi pengundi Melayu sebanyak 73.62 peratus, India, 15.9 peratus, pengundi Cina sebanyak 8.76 peratus.-UTUSAN

The post Tok Mat berdepan empat calon lain di Rembau appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *