PETALING JAYA: Tawaran manifesto Barisan Nasional (BN), Perancangan Amal dan Usaha (Padu) dirangka secara realistik dan menyeluruh untuk semua rakyat.

Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, untuk itu pengundi bertanggungjawab memilih kerajaan terbaik dengan menolak retorik dan politik populis yang merugikan.

Katanya, kini masa terbaik bagi membentuk Malaysia yang baharu setelah empat tahun yang sangat tidak menentu akibat kecelaruan politik.

“Kita mesti memilih parti yang boleh membentuk kerajaan bertanggungjawab, ikhlas, pragmatik dan yang mempunyai rencana atau perancangan jelas untuk Malaysia dan kerana itu kami harap semua pengundi memilih BN.

“Percayalah BN berazam menjadi kerajaan yang terbaik bagi masa depan Malaysia. Ini kerana BN mempunyai agenda dan pelan yang konkrit untuk negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, BN menawarkan tawaran baharu iaitu Padu yang menggariskan 99 usaha menjadi panduan dalam mengemudi tanah air ini menjadi negara berkemajuan tinggi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Padu merupakan tawaran baharu yang segar atau daripada BN kepada rakyat Malaysia yang tidak sekadar janji-janji manis dan indah serta bukan tentang segala-galanya percuma serta pemansuhan dan pengurangan dalam keadaan serba-serbi.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar menambah, BN menawarkan Kestabilan dan Kemakmuran yang diperlukan rakyat demi membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

Katanya, calon-calon yang diketengahkan oleh BN dengan lebih 85 peratus memiliki latar belakang pendidikan terbaik adalah ramuan dan harapan terbaik BN sediakan untuk rakyat Malaysia.

“Sebagaimana dinyatakan oleh Pengerusi BN, bahawa BN menawarkan kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik, lompat-melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan.

“Kerajaan yang akan menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik dan kerajaan,” katanya.

Beliau menambah, pembentangan manifesto BN oleh Pengerusi BN memperlihat pihaknya mahu mengurus Malaysia agar menjadi sejahtera dan makmur demi rakyat Malaysia.

“Saya juga berkeyakinan sebagaimana disebut semasa pembentangan manifesto bahawa semua ini mampu dicapai dengan melaksanakan pelbagai perkara bersifat pro rakyat, pro pembaharuan, pro kemajuan, mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

“Percayalah Padu merupakan tawaran terbaik kepada rakyat Malaysia. Kajian mendalam, penelitian yang terperinci dilakukan sebelum diumumkan kepada rakyat.

“Padu adalah suatu amal dan usaha menyelesaikan masalah negara dan rakyat. Ia bukan retorik sebaliknya suatu bukti kesungguhan BN memakmurkan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post Tolak retorik dan politik populis merugikan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *