PETALING JAYA: Sedar Kuala Lumpur City (KL City) tidak mempunyai kumpulan penyokong yang besar, kelab warga kota itu merayu peminat bola sepak seluruh Malaysia untuk memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu depan bagi menaikkan semangat mereka dalam final Piala AFC 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata, memindahkan venue perlawanan dari Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (Stadium Cheras) ke Bukit Jalil tidak boleh die­lakkan kerana tuntutan final piala berprestij itu memerlukan teknologi video bantuan pe­ngadil (VAR) digunakan.

SNBJ mempunyai kemudahan tetapi kapasitinya yang amat besar – mampu menampung sehingga 80,000 penonton dikhuatiri menyebabkan perlawanan menjadi ‘hambar’ dan kosong apabila KL City menerima kunjungan kelab Oman, Al Seeb.

Situasi mungkin berbeza jika mereka bermain di Cheras, di mana stadium itu hanya mempunyai kapasiti 18,000.

SORAKAN padu penyokong menjadi kekuatan KL City ketika beraksi dalam final Piala AFC zon ASEAN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 24 Ogos lalu.

“Dalam final Piala AFC nanti, KL City bermain untuk Malaysia. Apabila ada peluang kelab dari Malaysia pergi sejauh ini selepas Johor Darul Ta’zim pada 2015, saya yakin ia akan me­ngubah pandangan banyak pihak bukan sahaja tentang KL City tetapi juga Malaysia.

“Dengan layak ke final, semua ini beri nilai tambah buat Persatuan Bolasepak Malaysia, begitu juga Liga Malaysia kerana kita berada di puncak tertinggi. Banyak pihak akan mendapat manfaat daripada aksi ini.

“Bagi saya, sangat penting untuk peminat bola sepak Malaysia datang dan menyokong final nanti kerana perlawanan ini bukan mengenai KL City semata-mata.

“Kita membawa penghormatan dan prestij. Jika kami menang, itu kelebihan untuk Malaysia dikenali sebagai sebuah negara bola sepak,” kata Stanley kepada Mingguan Malaysia.

STANLEY BERNARD

Sementara itu, penyokong KL City yang mahu dikenali sebagai Nizam Archibald percaya, skuad The City Boys mempu­nyai penyokong yang ramai biarpun sering dilihat seperti kelab ‘kerdil’ tanpa peminat besar.

“Warga KL sebenarnya ramai sebab kalau ada perlawanan Harimau Malaya, SNBJ penuh dan saya pasti ramai yang akan pergi,” katanya.
Kelmarin, lebih 200 penyo­kong KL City menandatangani petisyen meminta final Piala AFC diadakan di Cheras.

The post Tolong KL City menang Piala AFC appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *