DUNGUN : Beberapa kawasan di sekitar Paka dijangka mengalami gangguan bekalan air berikutan insiden tongkang terlanggar paip yang sedang dibaiki sehingga patah di jambatan Paka, di sini, petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Datuk Satiful Bahri Mamat menerusi laman Facebooknya, petang ini  berkata, difahamkan tongkang tersebut milik kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembaikian paip berkenaan yang hampir patah akibat dilanggar sebuah bot sebelum itu.

Menurutnya, ribuan pengguna akaun Syarikat Air Terengganu (Satu) dijangka terjejas berikutan insiden tersebut.

“Insya-Allah akan diambil tindakan segera dengan menggunakan Loji Rawatan Air (LRA) Kemudi, Serdang di sini.

“Untuk pengguna Felda Kerteh 2 dan Felda Kerteh 3 serta Ketengah Jaya yang terjejas, pihak Satu akan menghantar bekalan air dengan lori tangki,” katanya.

Satiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri turut menasihatkan penduduk di kawasan yang belum mengalami gangguan bekalan air supaya menadah air dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Sementara itu, di laman sosial Facebook, rata-rata pengguna yang telah terputus bekalan air meminta pihak berkenaan supaya segera menghantar bekalan air. – UTUSAN

The post Tongkang langgar paip, beberapa kawasan di Paka alami gangguan bekalan air appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *