GEORGE TOWN: Tourism Malaysia menyasarkan kira-kira 300 pakej ‘Northern Malaysia Coffee Experience’ dapat dijual di seluruh negara bagi mempromosikan industri kopi melalui kedai kopi, kafe dan rawatan spa berasaskan kopi di negeri-negeri wilayah Utara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, pakej meliputi beberapa destinasi di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak yang mula dijual semalam sehingga 1 Jun tahun depan itu dijangka mencatatkan pulangan kira-kira RM100,000.

Katanya, pakej berkenaan berpotensi dipromosikan selaras dengan Dasar Pelancongan Negara yang memfokuskan kepada peningkatan pengalaman pelancong susulan trend terkini terutama golongan ‘milennial‘ yang menjadikan aktiviti bersantai di kedai kopi atau kafe sebagai salah satu gaya hidup.

Jelas beliau, pakej yang ditawarkan selama sehari, dua hari satu malam dan tiga hari dua malam ini bermula serendah RM95 seorang.

“Malah, pelancong domestik dan antarabangsa berpeluang mendapat diskaun sebanyak 10 peratus daripada tawaran harga asal selain urutan spa berasaskan kopi di pusat spa terpilih,” katanya di sini semalam.

Menurut Zainuddin, antara aktiviti yang ditawarkan menerusi pakej itu seperti lawatan ke Kilang Kopi Antong di Taping, Perak dan lawatan tapak semaian benih kopi di Keda Agrobiz di Sik, Kedah.

Selain itu, katanya, pengalaman merasai kopi dalam suasana kampung di Rumah Kupi, Kangar, Perlis serta bersantai di kubu bersejarah Fort Cornwallis di Pulau Pinang.

“Segmen gastronomi dan spa yang digabungkan ini berupaya menarik lebih ramai pelancong yang meminati kopi ke negara ini,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan usaha merancakkan industri pelancongan seiring dengan peralihan kepada endemik selepas negara dilanda wabak Covid-19 dua tahun lalu.

Katanya, sasaran baharu lebih tertumpu kepada pasaran tertentu yang akan menjadi tumpuan utama untuk meningkatkan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

“Dengan mengambil kira cabaran kemelesetan ekonomi yang dijangka melanda tahun depan, kita akan terus berusaha memastikan industri pelancongan terus mendapat sambutan menggalakkan.

“Walaupun sudah penghujung tahun, kita dapat lihat ramai pelancong luar terutamanya warga China paling banyak mengunjungi negara kita selain pertambahan penerbangan antarabangsa sejak sempadan negara kembali dibuka,” katanya. –UTUSAN

The post Tourism Malaysia sasar jual 300 pakej promosi industri kopi, spa tempatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *