PETALING JAYA:  UMW Toyota Motor menerajui segmen pengeluar automotif bukan nasional di Malaysia setelah berjaya menjual sebanyak 101,035 unit kenderaan tahun lalu berbanding 72,394 unit yang dijual pada 2021.

Presidennya, K. Ravindran berkata, peningkatan sebanyak 40 peratus itu membabitkan jualan 100,042 buah kenderaan Toyota dan 993 buah kenderaan Lexus yang berjaya dicapai meskipun keadaan pasaran mencabar serta isu rantaian bekalan yang menjejaskan industri automotif di peringkat global dan tempatan.

“Kami gembira kerana dapat memberikan senyuman dan menghadirkan kegembiraan kepada pelanggan kami di seluruh negara, dan berterima kasih kepada setiap seorang daripada mereka atas sokongan yang diberikan.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan, peniaga dan rakan kongsi perniagaan kami yang berjaya mengharungi tahun yang mencabar.

“Bersama-sama, kami akan terus memastikan pelanggan kami gembira dan memastikan kualiti dan perkhidmatan akan sentiasa kekal pada tahap tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ravindran turut mengumumkan, UMW Toyota Motor juga berjaya mencatatkan jualan  kukuh dalam kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-c bagi pasaran domestik di mana sebanyak 17,208 unit Corolla Cross berjaya dijual tahun lalu.  

“Sementara itu, Hilux mendominasi segmen pikap selepas 27,198 unit terjual. Selain itu sebanyak 390 unit Hiace dan 3,432 unit Fortuner berjaya dijual tahun lalu bagi membolehkan kedua-duanya kekal bertahan untuk menduduki tempat teratas masing-masing dalam segmen van satu tan dan wagon tugas ringan,” katanya.

Menurut Ravindran, 2022 merupakan tahun yang cukup sibuk bagi UMW Toyota Motor dengan pelancaran beberapa model baharu termasuklah Corolla Cross Hybrid.

Katanya, Corolla Cross Hybrid adalah versi yang sangat penting kerana ia merupakan  model Toyota pertama dengan teknologi Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) yang dipasang di Malaysia iaitu di kilang canggih Toyota di Selangor.

“Teknologi HEV ialah antara teknologi dalam portfolio pelbagai pilihan rangkaian kuasa yang ditawarkan Toyota dalam pendekatan berbilang laluan ke arah neutraliti karbon HEV, pengurangan pelepasan karbon dioksida boleh bermula serta-merta.

“Kami akan terus menilai pilihan yang berbeza dan memperkenalkan model baharu mengikut kesesuaian. Buat masa ini, kami percaya HEV adalah yang paling sesuai untuk rakyat Malaysia dan akan menambah model HEV kedua pada 2023,” katanya. – UTUSAN

The post Toyota dominasi segmen pengeluar automotif bukan nasional di Malaysia 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *