JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengarahkan syarikat tenaga, Pertamina melakukan siasatan dan audit terhadap fasiliti miliknya susulan insiden kebakaran membabitkan depoh bahan api di Jakarta.

Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Erick Thohir berkata, pihaknya sudah mengarahkan Pertamina untuk segera menyiasat kes berkenaan secara terperinci.

“Kita perlu melakukan kajian semula operasi,” katanya di laman Instagram.

Dilaporkan, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan) semalam mengakibatkan beberapa rumah berdekatan turut dijilat api.

Kebakaran itu bermula di saluran paip minyak di depoh bahan api Plumpang, Jakarta.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam kebakaran itu, manakala puluhan orang cedera dan ratusan penduduk berjaya dipindahkan. 

Menurut pegawai pasukan bomba Jakarta Utara, Abdul Wahid, kebakaran itu berjaya dipadamkan pada awal pagi.

Sementara itu, ketua jawatankuasa tenaga Parlimen Indonesia, Sugeng Suparwoto menggesa audit dijalankan ke atas semua fasiliti milik Pertamina.

“Semua fasiliti sama ada loji penapisan atau pusat simpanan, perlu diaudit semula,” katanya kepada KompasTV.

Beliau juga memaklumkan insiden kebakaran kerap berlaku di fasiliti Pertamina.

Pada tahun 2021, kebakaran besar berlaku di loji penapisan Pertamina di Balongan dan Cilacap.

Selain itu, Sugeng turut menegaskan perlu ada kawasan lebih luas antara fasiliti penyimpanan Pertamina dan penempatan penduduk.   

“Bagi fasiliti yang mempunyai kapasiti seperti di Plumpang, sepatutnya ada jarak sekurang-kurangnya satu hingga dua kilometer dengan kawasan kediaman,” katanya.

Plumpang memiliki kapasiti 300,000 kiloliter dan merupakan antara terminal bahan api terbesar Pertamina.

Menurut seorang saksi, kawasan perumahan padat yang terletak di sebelah fasiliti Plumpang itu, hanya dipisahkan dengan sebuah jalan kecil. – REUTERS 

The post Tragedi maut di depoh minyak: Pertamina diarah buat audit      appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *