BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) akan menjadikan bidang pendidikan di negara ini berteknologi tinggi berasaskan teknologi digital jika kembali diberi mandat memerintah negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia dilakukan menerusi beberapa transformasi dalam sistem pendidikan negara melibatkan peringkat persekolahan rendah dan menengah serta institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Untuk sekolah rendah dan menengah, dalam tempoh 18 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kita akan menukar buku teks kepada laptop (komputer riba) yang diberikan percuma kepada semua pelajar.

“Nanti, ada pula bertanya pelajar sahajakah yang akan dapat? Sebenarnya, guru juga akan diberikan (komputer riba percuma),” katanya dalam perjumpaan bersama warga pendidik Bagan Datuk di Simpang Empat, Hutan Melintang di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi memastikan sistem pembelajaran itu berjaya, semua sekolah di seluruh negara akan dilengkapi kemudahan data 5G.

Jelasnya, bagi peringkat IPTA pula, mahasiswa akan menjalani kaedah pembelajaran secara bersemuka sebanyak 50 peratus manakala 50 peratus lagi pembelajaran secara virtual atau maya.

Beliau memaklumkan kaedah tersebut bukan sahaja akan mengurangkan kos pembelajaran golongan mahasiswa tetapi juga memberi pendedahan kepada mereka terhadap teknologi baharu sistem pendidikan.

Menurutnya, semua pembaharuan itu adalah sebahagian daripada 99 aku janji yang terdapat dalam manifesto BN dalam menghadapi PRU15 ini.

Terangnya, BN komited untuk melaksanakan semua pembaharuan itu dengan mengambil kira usaha membaiki semua kesilapan dan kelemahan lalu.

Ahmad Zahid juga mengimbau bagaimana sebelum ini daerah di kawasan bandar di Perak seperti Kinta sering ke hadapan dalam bidang pendidikan.

Bagaimanapun jelasnya, apabila Bagan Datuk yang merupakan kawasan luar bandar menjadi daerah ke-12 di Perak, usaha bersepadu dilakukan beliau dengan kerjasama pejabat pendidikan daerah, warga pendidik serta ibu bapa untuk melonjakkan kualiti pendidikan kawasan tersebut.

Berkat usaha itu katanya, Bagan Datuk berjaya berada pada kedudukan pertama dalam sistem pendidikan di negeri ini.

“Ertinya, walaupun berada di luar bandar, jika ada komitmen dan kerjasama semua pihak, maka kejayaan pasti datang,” katanya. – UTUSAN

The post Transformasi pendidikan berasaskan teknologi digital jika BN berkuasa semula appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *