BAGAI mimpi di siang hari, itu dirasai Pelakon, Layla Sania Khairuzikri yang sehingga saat ini sukar mempercayai kejayaannya merangkul anugerah Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia ke 32 (FFM32) menerusi Small Town Heroes.

Pelakon berusia 20 tahun itu memberi kejutan, menundukkan pesaing-pesaing hebat seperti Bernie Chan, Alicia Amin, Joelah Charles dan Amelia Handerson yang turut tercalon bagi kategori tersebut.

Layla sampai hari ni masih cuba menghadam kemenangannya itu. Baginya, ada calon yang lebih layak menjulang trofi berkenaan.

“Pesaing saya kuat dan hebat-hebat belaka. Sebab itu saya tak sangka akan menang pada acara itu. 

“Rasa serba salah juga, sebab saya merasakan diri belum layak untuk menang anugerah tersebut.

“Sampai sekarang saya masih belum temui jawapan kenapa saya yang menang. Sampai sekarang juga saya cuba buktikan yang saya layak menang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata Layla, dia turut bersedih kerana tidak berkesempatan hadir ke FFM32, menjulang sendiri trofi kemenangannya di atas pentas.

“Saya memang merancang untuk hadir. Bahkan saya sudah tempah baju untuk digayakan di FFM32. Bagaimanapun saya terpaksa membatalkan kehadiran ke acara itu kerana urusan lain.

“Saya dapat tahu tentang kemenangan itu ketika sedang menjalani penggambaran sebuah naskhah baharu. Memang tak sangka sampai menangis saya dibuatnya.

“Kemenangan itu menyuntik semangat untuk saya membuat yang lebih baik dalam lakonan saya seterusnya,” katanya yang mengidolakan penyanyi, Amy Winehouse.

Proses Pembelajaran menyeronokkan

Layla menyifatkan pengalaman berlakon dalam filem Small Town Heroes sebagai pembelajaran yang menyeronokkan.

Katanya dia cukup bertuah kerana boleh berbahasa Mandarin, sekaligus terpilih untuk membawakan watak cikgu tadika bernama Aishah dalam filem tersebut.

“Hampir 90 peratus babak yang saya lakonkan dalam filem itu memerlukan saya  bertutur dalam bahasa Mandarin.

“Saya rasa diri bertuah kerana boleh bercakap Mandarin. Saya berterima kasih kepada bapa, Khairuzikri, yang menghantar saya ke sekolah Cina dari tadika sampai ke peringkat menengah.

“Kerana kebolehan itu, saya berpeluang berlakon dan tunjuk bakat terpendam,” jelasnya.

Kata Layla, karakter cikgu Aishah adalah watak yang menyeronokkan untuk dilakonkan.

“Watak ini tidaklah mencabar kerana karakternya tidak jauh beza dengan diri saya yang sebenar.

“Cuma saya rasa seronok melakonkannya kerana dapat menari, menyanyi dan bertarung dalam filem itu,” tambahnya.

Tiga bidang serentak

Penuntut jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sebuah Institusi Pengajian Tinggi tempatan ini terpaksa menangguhkan tempoh praktikal buat sementara bagi menjalani penggambaran sebuah drama di Genting Highland.

Kata Layla, dia mahu menceburi tiga bidang dalam satu masa, iaitu menjadi guru, pelakon dan penyanyi satu masa nanti.

“Ia tidak mustahil sebab saya melihat ada artis kita yang melakukannya. 

“Dahulu, memang rasa susah kerana saya masih terlalu muda, tak mahir bahagikan masa.

“Sekarang, saya tahu selok belok bahagikan masa untuk tiga kerjaya. Bila ada masa rehat, kena rehat betul-betul,” jelasnya.

 

The post Tuah fasih bahasa Mandarin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *