SHAH ALAM : Susulan kenaikan air di Taman Sri Muda, petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, pusat tersebut ditubuhkan pukul 8 malam tadi, sebagai persediaan sekiranya berlaku banjir kilat di sini serta Kota Kemuning.

“PKTK akan beroperasi selama 24 jam dengan beberapa anggota daripada bomba, polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan lain-lain lagi.

“Saya memuji tindakan pantas yang dibuat JBPD untuk menubuhkan pusat ini sekiranya apa-apa berlaku,” katanya selepas melawat PKTK di Taman Sri Muda, di sini, malam tadi.

Menurutnya, tujuh anggota bomba daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor serta lima buah bot telah ditempatkan di PKTK.

Selain penubuhan pusat itu, kata Abdul Latiff, sebanyak lapan buah pam air telah ditempatkan di dua lokasi dalam taman tersebut sekiranya air melimpah ke kawasan daratan.

“Kerajaan Pusat mengambil iktibar daripada kejadian bah yang berlaku, pada tahun lalu.

“Apapun, saya harap kejadian tahun lepas tidak berlaku pada tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Latiff memaklumkan bahawa air yang naik di beberapa kawasan di Shah Alam telah surut pada pukul 8 malam tadi.

Menurutnya, hujan yang turun pada kadar 55 milimeter (mm) di Taman Sri Muda petang tadi yang mengakibatkan banjir kilat di sini tadi.- UTUSAN

The post Tubuh PKTK sebagai persediaan hadapi banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *