PETALING JAYA: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah medan selera di Taman Dato Razali, Ampang di sini, semalam.

Kejadian kira-kira 10.40 malam itu berlaku apabila pengadu iaitu lelaki tempatan berusia 22 tahun datang ke medan selera berkenaan untuk berjumpa suspek.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 22 tahun itu adalah teman lelaki kepada bekas teman wanita pengadu.

Katanya, ketika perbincangan, suspek bertindak menumbuk pengadu beberapa kali di bahagian muka.

“Rakan-rakan pengadu dan suspek kemudian turut masuk campur sehingga tercetusnya pergaduhan.

“Akibat kejadian itu, pengadu dan suspek masing-masing mengalami kecederaan luka di tangan kanan dan sakit di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu, enam lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 18 hingga 23 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu ditahan pukul 1.10 pagi tadi.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca akibat kata-kata kesat dan saling mengejek antara pengadu dengan suspek.

“Enam suspek lelaki direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Oktober nanti, manakala seorang suspek wanita direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.-UTUSAN

The post Tujuh ditahan dalam insiden gaduh di medan selera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *