TANAH MERAH: Seramai tujuh individu di kompaun atas kesalahan mendedahkan aurat di tempat awam dengan memakai seluar pendek dalam serbuan di Kampung Gertak Chaber dan Kusial di sini baru-baru ini.
Kesemua lelaki berusia belasan tahun dan 20-an itu dikompaun Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) di bawah Seksyen 23 iaitu dedah aurat di tempat awam menerusi Op Bersepadu bersama Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tanah Merah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Sumber MDTM berkata, menerusi operasi tersebut pihaknya turut menyita enam unit dapur shisha dan mengeluarkan satu notis amaran di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDTM) 2009.
Menurutnya, pada masa sama sebanyak 11 kompaun bernilai RM1,900 dikeluarkan di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 oleh PKD.
“Bagi Kesalahan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 sebanyak lima kompaun melibatkan jumlah RM1,500 telah dikeluarkan.
“Pihak MDTM akan melipatgandakan operasi dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan oleh peniaga di jajahan ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sumber memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkait dengan pelanggaran undang-undang diminta tampil membantu MTDM. – UTUSAN
The post Tujuh individu pakai seluar pendek dikompaun appeared first on Utusan Malaysia.