TANAH MERAH: Merempuh perjalanan mencabar menggunakan laluan berlumpur setiap kali hujan sudah menjadi asam garam buat Wan Norizan Wan Nawi, 51, sejak tujuh tahun lalu.

Bagi Wan Norizan, lumpur tebal di jalan masuk ke rumahnya di Taman Desa Utama, Kampung Kelewek di sini itu seakan-akan sudah menjadi penemannya dan suami setiap kali mahu keluar melakukan urusan harian termasuk be­kerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Norizan berkata, setiap kali menggunakan jalan tersebut terutama pada musim hujan, dia dan suami perlu waspada serta peka dengan kea­daan sekeliling bagi mengelakkan berdepan kemalangan.

“Saya sudah dua kali mengemukakan aduan kepada pihak Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) termasuk menghantar surat rasmi memaklumkan masalah ini.

“Malangnya, tiada sebarang jawapan atau maklum balas berkait dengan masalah yang saya kemukakan itu pada tahun lalu,” katanya di sini semalam.

Wan Norizan memberitahu, disebabkan keadaan laluan yang teruk, dia terpaksa meletakkan kereta baharu miliknya itu ditempat lain bagi mengelakkan ia rosak.

Katanya, dia kini bergantung sepenuhnya kepada kereta Pe­rodua Kancil yang sudah acap kali rosak untuk berulang-alik pulang ke rumah dari tempat kerja atau urusan lain.

“Saya dengan rendah hati merayu pihak berkenaan untuk turun padang dan melihat sendiri penderitaan yang dialami ini dan mencari kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah ini de­ngan membina jalan simen.

“Untuk makluman, laluan turut digunakan oleh penoreh getah untuk ke kebun masing-ma­sing selain pekebun kelapa sawit,” jelasnya.

Seorang pekebun getah, Mohd. Faizal Mat Saman, 40, berkata, kemalangan kecil sudah sentiasa berlaku setiap kali dia keluar menoreh menggunakan jalan itu.

Katanya, walaupun berdepan risiko kemalangan akibat permukaan jalan yang berlumpur tebal serta tidak rata, namun disebabkan tiada pilihan, dia terpaksa berbuat demikian.

Katanya, selain lumpur dia dan rakan-rakan turut berdepan dengan masalah debu tebal semasa musim kemarau.

“Jadi saya merayu kepada kerajaan atau pihak berkenaan dapat memberikan perhatian kepada masalah ini kerana ia melibatkan kepentingan penduduk dan pekebun,” katanya. – UTUSAN

The post Tujuh tahun guna jalan lumpur appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *