AMPANG: Suspek lelaki kes pembunuhan tukang masak di sebuah restoran di Pandan Indah di sini, 29 Disember lalu dipercayai mempunyai pengetahuan berkaitan bahan letupan. 

Suspek berusia 33 tahun yang bekerja sebagai kontraktor itu dipercayai mempunyai minat serta pengetahun dalam bidang elektrik dan pendawaian sehingga berjaya menghasilkan bahan letupan yang ditinggalkan atas kereta mangsa berusia 28 tahun itu.

Malah, hasil siasatan mendapati bahan letupan tersebut dihasilkan daripada bilah pisau pemotong kertas dan serbuk mozek sehingga mangsa cedera parah di bahagian badan dan tangan. 

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki dan isterinya, suri rumah berusia 30 tahun itu dipercayai berada di lokasi kejadian dan bahan letupan itu diletupkan disyaki menggunakan alat kawalan jauh.

Katanya, kedua-dua suspek turut mengenali mangsa kerana berasal dari kampung sama iaitu, Serdang, Kedah. 

“Setakat ini pihak polis telah merakam percakapan 36 saksi bagi membantu siasatan. 

“Motif kejadian dipercayai berunsur peribadi. Kita turut merampas pelbagai barang kes termasuk bahan-bahan dipercayai digunakan untuk membuat letuapan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Ampang di sini hari ini. 

Tambahnya, kesemua barangan kes telah dihantar ke makmal kimia dan forensik polis untuk dianalisis. 

Kita masih menyoal siasat kedua-dua suspek yang direman tujuh hari sehingga Selasa ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita percaya kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat ini,” ujarnya. 

Dalam kejadian pukul 8.55 malam itu, mangsa maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis.

Kelmarin, polis menahan suspek dan isterinya yang masing-masing berusia 33 dan 30 tahun dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Serdang, Kedah, kira-kira pukul 7.20 malam.

Siasatan awal polis mendapati suspek lelaki mengesyaki mangsa ada hubungan dengan isterinya ketika tukang masak terbabit tinggal utara tanah air.- UTUSAN

The post Tukang masak maut: Suspek lelaki mempunyai pengetahuan, minat hasil bahan letupan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *