PETALING JAYA: Pergerakan kereta lembu yang dinaiki tiga lelaki di Jalan Serdang Perdana, Serdang dekat sini sehingga tular dalam media sosial, sebenarnya adalah latihan untuk perarakan upacara keagamaan Hindu.

Anggota kaunter aduan trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima maklumat berkaitan video yang tular itu pada pukul 7 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan berkata, video disiarkan itu  membabitkan sebuah kereta lembu dinaiki  tiga lelaki di jalan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati ia dirakam pada pukul 10 pagi Isnin lalu dan tular dalam media sosial.

“Menurut pemilik kereta lembu terbabit, ia dinaiki tiga lelaki yang sedang berlatih untuk perarakan upacara keagamaan Hindu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perarakan itu dijangka bermula bermula Februari ini sempena Thaipusam.

Ujarnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Pemilik kereta lembu itu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan semalam untuk menceritakan kejadian itu.

“Polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya yang menggunakan haiwan di jalan awam mematuhi undang-undang supaya tidak membahayakan pengguna lain,” katanya.- UTUSAN

 

 

 

The post Tular kereta lembu atas jalan latihan perarakan Thaipusam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *