PETALING JAYA: Tular dalam media sosial mengenai surat daripada Kementerian Pendidikan yang mengesahkan guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh digugurkan kesemua pertuduhan dan dibebaskan daripada tindakan tatatertib.

Surat yang mengandungi dua muka surat itu menyatakan ketiga-tiga pertuduhan terhadap Cikgu Fadli digugurkan setelah Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan membuat pertimbangan dengan teliti menerusi mesyuarat yang diadakan semalam.

Surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof bagaimanapun tidak dipastikan kesahihannya, namun, tular dan dipetik dalam portal-portal berita tempatan.

SURAT yang tular dalam media sosial

Terdahulu, Cikgu Fadli dalam Facebooknya mengumumkan akan membuat siaran langsung mengenai keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan itu pada pukul 8.30 malam ini.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Fadli mendakwa dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat daripada Kementerian Pendidikan dipercayai dengan alasan sering menegur berkaitan isu persekolahan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan membabitkan silibus ‘kayangan’ tahun 1 terutamanya berkaitan subjek Matematik, jadual padat dan isu beg sekolah berat.

Keputusan Lembaga Tatatertib dipercayai disampaikan kepada Mohd. Fadli melalui ketua jabatan guru Matematik itu sendiri, hari ini.

Ia susulan Lembaga Tatatertib berkenaan bersidang semalam selepas menerima surat representasi yang dikemukakan guru Matematik itu pada 14 Oktober.

Sidang tersebut dibuat selepas Kementerian Pendidikan sebelum ini menyangkal dakwaan Mohd. Fadli sudah dijatuhi hukuman apabila beliau mendakwa berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat. –UTUSAN

The post Tular surat Cikgu Fadli digugurkan pertuduhan, bebas tindakan tatatertib appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *