SAUDARA PENGARANG,

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu ucapan baru-baru ini menyampaikan panduan amat jelas tentang hala tuju penyelidikan negara untuk beberapa tahun akan datang melalui lima prinsip penting.

Beliau memberi penekanan kepada kepentingan penyelidikan sebagai pencetus kepada ilmu baharu dan untuk manfaat kepada negara, kepentingan kerjasama strategik dalam usaha mendanai penyelidikan dan pelaksanaan penyelidikan jangka panjang yang melibatkan konsortium penyelidik dari pelbagai disiplin yang sudah tentu akan mendatangkan impak pada skala besar.

Beliau juga menggariskan akan pentingnya penyelidikan dilaksanakan berlandaskan etika, proses yang sihat dan prinsip profesionalisme dan terkait dengan aspek kewangan ialah tentang penjanaan pendapatan utama universiti melalui penyelidikan.

Sebagai sebuah universiti teknikal yang mempunyai misi untuk melahirkan insan sempurna yang menyumbang kepada agenda pembangunan dan daya saing industri negara, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menyokong kesemua lima prinsip itu.

Ketika Covid-19 melanda negara, Unimap telah melangkah ke hadapan menawarkan penyelesaian kepada pelbagai pihak. Salah satu daripada usaha ini melibatkan pasukan penyelidik yang telah mereka cipta dan menghasilkan sistem sanitasi mudah alih yang telah dipasang di Hospital KPJ Pulau Pinang dan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Inovasi ini juga telah dikomersialkan dengan pemasangan unit sistem tersebut di Majlis Perundingan Islam Malaysia, Hospital Kemaman Terengganu dan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Selain itu, agenda penyelidikan harus menjurus kepada penyelesaian masalah dan pemerkasaan komuniti dan industri seperti objektif Unimap sendiri iaitu untuk menjana ilmu baharu melalui usaha penyelidikan yang strategik bagi manfaat manusiawi. – UTUSAN

PROF. DATUK DR. ZALIMAN SAULI, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap)

The post Tumpu penyelidikan bagi selesai masalah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *