KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyenaraikan pelbagai sebab untuk rakyat tidak mengundi calon daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya akan mementingkan diri berbanding masa depan negara sekiranya berjaya memenangi PRU-15.

“Zahid sendiri sudah menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin BN yang lain akan turut menghadapi pendakwaan sekiranya kalah. Zahid mahu BN menang untuk selamatkan ketuanya daripada penjara dan jatuhkan semua pendakwaan terhadap pemimpin parti tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Manakala, bagi PH pula, Mahathir mendakwa sekiranya parti tersebut dipilih sebagai kerajaan, Malaysia akan muflis kerana mereka.

“PH mahukan Anwar Ibrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi Perdana Menteri, Anwar tak kompeten. Semasa 19997, dia tidak boleh menguruskan kewangan negara dengan baik,” katanya.

Mengulas mengenai PN, Mahathir menyifatkan gabungan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak cukup cekap, ia boleh dilihat semasa mereka menjadi kerajaan dalam menangani masalah ekonomi, politik dan sosial yang terjadi disebabkan Covid-19.

“Muhyiddin menjadi Perdana Menteri disebabkan Najib (Datuk Seri Najib Razak) mahukan sebuah kerajaan yang boleh menggugurkan pendakwaan ke atas dirinya tetapi PN tak boleh menghalang daripada Najib disabit bersalah.

“Najib kemudian memutuskan bahawa Perdana Menteri perlu daripada UMNO, Najib bersama 15 Ahli Parlimen menarik sokongan lalu tumbangnya kerajaan dibawah pimpinan Muhyiddin dan Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri) dilantik,” jelasnya.

Tambahnya, pengundi perlu memilih dengan tepat dan tidak meletakkan orang yang sama sehingga mengakibatkan negara menghadapi pelbagai masalah.

“Jika pengundi bijak memilih mereka yang bebas daripada apa-apa pendakwaan daripada mahkamah, mereka yang berpengalaman dalam memerintah dan pembangunan, mematuhi kedaulatan undang-undang. Maka peluang negara untuk puluh dan kesejahteraan rakyat akan tercapai,” ujarnya.- UTUSAN

The post Tun M gesa jangan beri undi pada BN, PH dan PN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *