PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya mengambil maklum tentang aduan beberapa kontraktor mengenai pembayaran lewat bagi kerja-kerja Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash).

Menurut kenyataan kementerian tersebut, pihaknya juga mengambil maklum tentang kontraktor yang terjejas berikutan tunggakan bayaran bagi lebuh raya yang baharu dibuka, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

“Bagi mengelakkan kekeliruan, pemegang konsesi adalah pihak bertanggungjawab terhadap semua pembayaran kepada kontraktor dan bukannya kerajaan. Bagi kedua-dua lebuhraya ini, pemegang konsesi DASH dan SUKE adalah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).

“Di bawah perjanjian konsesi yang dimeterai, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memiliki kuasa kawal selia bagi mengaudit bajet bagi lebuh raya terbabit dan
melakukan intervensi.

“Kementerian Kerja Raya sudah mengarahkan LLM untuk segera mengadakan pertemuan dengan pemegang konsesi dan kontraktor utama dengan dihadiri subkontraktor yang terjejas akibat tunggakan pembayaran kepada mereka, bagi memastikan segala pembayaran tertunggak diselesaikan secepat mungkin sebagaimana di arahkan Perdana Menteri,” kata kementerian tersebut.

Dalam satu program di ibu negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan hutang kepada pihak terlibat dalam projek Dash yang dibuka baru-baru ini perlu dijelaskan.

Perdana Menteri berkata, justeru Kementerian Kerja Raya perlu memberi penjelasan terperinci mengenainya dan bayaran kepada kontraktor perlu diselesaikan.

Ismail Sabri mengulas isu dakwaan hutang yang belum dibayar kepada sebilangan subkontraktor projek Dash berjumlah lebih RM80 juta.

Perkara tersebut menyebabkan kalangan subkontraktor yang terlibat dengan projek berkenaan mengalami kesukaran.

Lebuh raya sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk dibuka mulai 12.01 tengah malam Jumaat lalu. – UTUSAN

The post Tunggakan hutang Dash: Kementerian Kerja Raya arah LLM segera adakan pertemuan konsesi, kontraktor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *