ALOR SETAR: Seorang pengerusi sebuah koperasi di negeri ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membuat tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek penternakan lembu tenusu bernilai RM20.3 juta pada 2015. 

Sumber memaklumkan, penahanan lelaki berusia 57 tahun itu dibuat pada pukul 3 petang semalam di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah. 

“Individu itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai tuntutan palsu disyaki dilakukan berkaitan insentif pembayaran projek tersebut di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

“Menerusi maklumat diterima, dua syarikat disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedangkan tiada pembekalan dibuat,” katanya di sini, hari ini. 

Perintah tahanan reman enam hari terhadap individu itu dikeluarkan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini, hari ini. 

Lelaki itu tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar dengan diiringi pegawai SPRM pada pukul 8.50 pagi. 

Ini  adalah tangkapan ketiga  SPRM bagi siasatan terhadap kes tersebut setelah dua lelaki membabitkan pengarah dan pemilik syarikat direman empat hari pada 11 Januari lalu hingga semalam. 

Sementara itu, sumber terbabit memaklumkan, temu bual dan pernyataan  pengerusi koperasi tersebut turut dirakam bagi membantu siasatan. 

“Ketika ini siasatan sedang giat dijalankan. Kemungkinan akan ada lagi tangkapan, bergantung kepada keperluan dan hasil siasatan,” katanya. 

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan lelaki tersebut di bawah Seksyen 18 Akta SPRM, namun enggan mengulas lanjut.- UTUSAN 

 

The post Tuntutan palsu RM20. 3 juta, pengerusi koperasi ditahan  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *