PETALING JAYA: Kurang dua bulan sebelum Liga Super musim 2023 membuka tirai pada 24 Februari ini, UiTM FC muncul kelab kedua menarik diri daripada saingan selepas Petaling Jaya City (PJ City).

Perkara itu disahkan Presiden The Lion Troops, Profesor Dr. Sazili Shahibi selepas dua musim kelab tersebut beraksi di pentas Liga Super.

Selain masalah kewangan, Sazili menjelaskan ada punca lain mengapa pihak pengurusan mengibarkan bendera putih dalam mengharungi kancah tertinggi bola sepak negara itu.

“Ahli Lembaga Pengarah UiTM telah bermesyuarat dan (kami mengambil) keputusan untuk menarik diri daripada liga pada musim depan.

“Kewangan adalah salah faktornya, tapi kami rasa dari segi kemampuan, ia tidak sesuai buat pemain-pemain kami,” katanya kepada Astro Arena semalam.

Menurut Sazili, UiTM bakal beralih ke saingan Liga M3 musim ini.

UiTM FC muncul pasukan berstatus universiti pertama yang layak beraksi dalam Liga Super.

Sementara itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai penarikan UiTM FC dalam masa terdekat selepas hanya 14 pasukan bakal bertanding di pentas Liga Super musim ini.

The post UiTM FC tarik diri dari Liga Super 2023 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *