PETALING JAYA: Kejohanan Terbuka Australia yang bakal membuka tirai hari ini bakal menjadi medan buat sandaran utama badminton negara, Lee Zii Jia menebus kembali kekecewaannya setelah dihampakan di Jelajah Eropah bulan lalu.

Zii Jia dinafikan kejayaan apabila tewas pemain China, Shi Yuqi dalam pentas final Terbuka Denmark, disusuli tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis, dan kemudian menarik diri dari Kejohanan Terbuka Hylo, Jerman.

Kini jaguh Asia itu kembali semula dan diletakkan pilihan pertama kejohanan setelah ketiadaan juara sukan Olimpik, Viktor Axelsen, serta beberapa lagi pemain yang turut menarik diri seperti pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie serta pemenang pingat emas sukan Komanwel, Lakshya Sen.

Zii Jia perlu sekurang-kurangnya mara sehingga ke separuh akhir dalam usaha untuk menaikkan mata ranking Jelajah Dunianya ke dalam kelompok lapan terbaik bagi merebut tiket terakhir ke saingan Akhir Jelajah Dunia yang dijadualkan berlangsung di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember.

Bagaimanapun, cabaran Zii Jia bakal bermula di pusingan kedua apabila berkemungkinan bertemu pemain China, Lu Guang Zu.

Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai enam wakil yang mengesahkan slot ke saingan tersebut antaranya Soh Wooi Yi-Aaron Chia dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki), Vivian Hoo-Lim Chiew Sin dan Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita) serta Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran).

Selain Zii Jia, dua lagi pemain negara yang mengibarkan cabaran dalam acara perseorangan lelaki Terbuka Australia merupakan pemain senior, Liew Daren serta Ng Tze Yong turut mempunyai misi tersendiri untuk melonjakkan tangga rankingnya ke tangga ke 32 dunia. -UTUSAN

The post Ujian getir buat Lee Zii Jia di Australia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *