UJIAN adalah sesuatu yang tidak asing dalam kehidupan manusia di dunia yang sementara ini. Tidak kira siapa mereka, ujian itu akan selalu ada.
Namun fitrah orang yang beriman kepada Allah SWT, ujian yang hadir itu sentiasa ada hikmah yang dibalut indah untuk dinikmati mereka yang faham erti sabar dan reda.
Demikian juga menurut ulama tersohor di Kedah, Tok Guru Sheikh Sanusi Salleh yang berusia 82 tahun dari Pendang, Kedah.
Kata beliau yang terkenal dengan sikap lemah lembut ini, Allah SWT sentiasa menyediakan hadiah yang tidak ternilai kepada hamba-Nya yang tahu erti sabar di sebalik keperitan ujian itu.
“Ujian akan tetap ada. Nabi kita dahulu pun banyak ujian, sahabat Nabi pun banyak ujian. Kita tak upaya kerana semua itu hak Allah. Ujian sakit, harta, perkahwinan, keluarga dan macam-macam lagi.
“Semua itu kita sebagai hamba Allah kena syukur dan reda kerana kalau kita bersabar Allah akan bagi pahala dan angkat darjat kita,” katanya yang semakin uzur namun masih bersemangat untuk berdakwah.
Sheikh Sanusi memberitahu, di sebalik sabar dan reda itu Allah SWT juga sentiasa mengingatkan supaya umat Islam tidak menyerah kalah dengan keperitan dugaan hidup dan sentiasa berdoa serta berusaha memperbaikinya.
“Contohnya, seorang wanita yang ditinggalkan atau diceraikan suami dan hidupnya kini sebatang kara. Janganlah tengok itu sebagai satu derita tetapi hikmah. Hikmah kerana dia kini sudah boleh beramal ibadat tanpa diganggu sesiapa.
“Di sebalik solat wajib itu dia kini boleh amalkan banyak solat sunat. Solat sunat dhuha, hajat, tahajud, berzikir, baca al-Quran, dia kini boleh tumpu kepada Allah.
“Itulah hidup kita di dunia untuk mengabdikan pada Allah dan beribadat. Besar ganjarannya kerana Tuhan sudah pilih dan bagi kita peluang untuk beribadah,” kata antara 10 ulama tertua di negeri ini.
Katanya, hayatilah ujian dengan penuh keinsafan dan tawaduk, di samping menguruskan takdir dengan berdoa kerana Maha Suci Allah yang memiliki sifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihi.
“Memang takdir Tuhan itu sudah tertulis di luh mahfuz hamba-Nya. Tetapi kita sebagai hamba perlu berdoa. Kuasa doa itu sangat hebat, itu satu kelebihan yang Allah bagi kat kita semua.
“Berdoalah. Untuk rezeki yang baik, jodoh yang baik dan kematian yang husnul khatimah. Doa, itu sahaja yang boleh mengubah takdir kita,” katanya yang juga dikenali sebagai Pak Long.
Kepada mereka yang berdepan saat-saat sukar, ini pesan Tok Guru Sheikh Sanusi iaitu amalkan zikir, La hawla wala quwwata illah billah.
“Maksudnya, tiada daya dan tiada upaya (kekuatan) kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata. Zikir ini mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan kerana ia menandakan kita reda kepada ujian Allah.
“Pada masa sama, kita berdoa kepada Allah dengan penuh kesyukuran kerana kita memahami tugasan hidup kita di dunia ini. Amalkan setiap masa zikir ini setiap kali kita mendapat sesuatu yang kita tidak suka,” katanya.
Tambahnya, sedangkan Nabi yang lebih tinggi darjatnya ketika diuji turut berzikir apatah lagi sebagai manusia.
“Jodoh lambat, rezeki lambat, anak lambat berzikirlah. Insya-Allah semua jangan lupa tujuan asal kita dibawa ke dunia sementara ini. Walaupun kita sibuk mencari hal-hal dunia, hal-hal akhirat itu paling utama,” harapnya. – Mingguan Malaysia

The post Ujian hidup dekatkan diri dengan Allah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *