KOTA BHARU: Seekor ular sawa batik seberat 20 kilogram (kg) ditemukan ‘menyorok’ di bahagian enjin sebuah kereta selepas mengalami kecederaan dipercayai terkena mesin rumput di Kampung Pangkalan Nangka, Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Seorang saksi, Mazura Ramli, 45, berkata, kejadian itu disedari selepas ternampak reptilia itu menyusur masuk ke bahagian bawah kereta jenis Mercedes milik bapa saudaranya yang terletak berhampiran rumah.

“Saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan menangkap reptilia tersebut. Sebaik sahaja ular itu ditangkap, saya lihat terdapat kesan luka pada bahagiannya. Saya tidak menolak kemungkinan luka itu berpunca daripada terkena mesin rumput kerana ada orang sedang membersihkan kawasan rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kota Bharu, Kapten Md. Fadir Md.Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.27 malam.

Katanya, seramai empat anggota digerakkan ke lokasi untuk kerja-kerja menangkap reptilia tersebut.

“Anggota kita membuka bonet dan menemukan seekor ular sawa batik sepanjang dua meter dan berat 20kg berlingkar di bahagian enjin. Reptilia itu kemudian dibawa balik ke Pejabat APM Kota Bharu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” jelasnya. – UTUSAN

The post Ular sawa batik 20kg ‘menyorok’ dalam kereta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *