KUALA PILAH: Seorang lelaki tidak menyangka terdapat seekor ular tedung selar di bawah sofa ketika dia sedang berehat di ruang tamu dalam kejadian di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ulu Bendul di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, sepasukan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

Menurut Pegawai APM Daerah Kuala Pilah, Lt. (PA) Mohamad Ghazali Abd. Rahim, dalam kejadian itu, penghuni rumah yang berusia 40 tahun sedang menonton televisyen dan ternampak pergerakan reptilia berbisa itu di bawah sofa.

“Anggota APM segera memulakan operasi menangkap ular seberat tujuh kilogram itu dengan menggunakan penjerut ular. Operasi berjaya menangkap seekor ular tedung selar atau lebih dikenali sebagai King Cobra sepanjang kira-kira lima meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, reptilia yang mempunyai bisa tahap tinggi itu kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)  Semenanjung Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan ini kejadian kali kedua kediaman tersebut dimasuki ular tedung dengan kejadian semalam melibatkan ular paling besar serta berbahaya.-UTUSAN.

 

The post Ular tedung selar bawah sofa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *