PADANG TERAP: Kesemua pimpinan UMNO di setiap Parlimen termasuk yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) diseru merapatkan semula saf kepimpinan sebagai satu pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, adalah menjadi kebiasaan pada setiap kali pilihan raya terdapat nama baharu serta lama yang dicalonkan serta yang turut digugurkan dalam senarai.

“Jadi saya menyeru kepada seluruh kepimpinan UMNO di semua kawasan Parlimen supaya dapat berada dalam saf kepimpinan UMNO serta menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk kepimpinan hari ini.

“Setiap kali datangnya pilihan raya, masalah ini pasti akan berlaku. Sebenarnya ini bukan sahaja berlaku kepada UMNO. Keadaan seperti ini akan menunjuk kesetiaan seseorang ahli itu kepada partinya,” katanya ketika ditemui selepas Program Pemantapan Sahsiah Diri di Dewan Tunku Putra di sini hari ini.

Mahdzir mengulas mengenai tindakan sebilangan kepimpinan UMNO yang kecewa selepas digugurkan daripada senarai calon BN yang dijangka bertanding atas tiket parti lain seterusnya bertembung dengan calon BN sendiri pada PRU15.

Sebelum ini, dilaporkan seramai empat Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan sebagai calon PRU15.

Mereka adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba (Tenggara) dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Semalam, Shahidan mengisytiharkan akan terus bertanding di Parlimen Arau pada PRU nanti yang sudah pasti akan bertembung dengan calon BN. – UTUSAN

The post UMNO perlu berada dalam satu pasukan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *