JASIN: Keputusan muktamad Pas memilih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai rakan sekutu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bukanlah sesuatu yang mengejutkan UMNO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, barisan kepemimpinan UMNO sudah lama menjangkakan perkara itu berdasarkan kenyataan-kenyataan yang pernah dibuat oleh para pemimpin parti berkenaan. 

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) telah bersedia lebih awal dengan sebarang kemungkinan yang mana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah menyebut beberapa kali bahawa parti bersedia bergerak solo ke pentas pilihan raya.

“Itu hak Pas dan kita menghormati setiap keputusan dilaksana mana-mana parti, walaupun peringkat awal Pas bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN). Yang dilihat orang Melayu dan Islam begitu teruja dengan apa yang telah kita lakukan.

“Seperti kita tahu perkara itu tidak kesampaian dan Pas telah membuat pilihan. UMNO dari segi awal sudahpun menjangkakan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat pimpinan Pas, kita sudah agak perkara ini akan berlaku.

“Semalam kata putus telah dibuat, kita pun daripada segi UMNO seperti saya kata, kita jangka. Sebab itu kita dari awal, Presiden UMNO telah buat kenyataan BN sedia gerak solo.

“Kita sudah sebut beberapa kali, kita bersedia, kita dah jangka yes or no dari awal, kalau yes ada tindakan kita. Kalau no seperti semalam, kita pun telah bersedia dengan pelan kita untuk pastikan kemenangan BN dalam PRU15,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Kompak Chinchin di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, MN yang piagamnya ditandatangani pada 14 September 2019 kini boleh dianggap berkubur apabila Pas semalam memuktamadkan untuk bersama Bersatu dalam PN bagi menghadapi PRU15.

Keputusan Pas itu sekaligus melanggar syarat yang ditetapkan oleh UMNO, iaitu parti tersebut perlu meninggalkan Bersatu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan enam negeri di bawah pentadbiran PN dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), Perdana Menteri berkata, pada awalnya beliau langsung tidak menjangka bahawa Pas bakal senada dengan PH untuk tidak membubarkan DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Tegasnya, tindakan sedemikian hanya merugikan negara kerana perlu menanggung kos pilihan raya lebih besar, selain memaksa rakyat keluar mengundi sebanyak dua kali.

“Mereka (PH) sudah umum lebih awal untuk negeri pembangkang ini, cuma peringkat awal kita tak jangkakan lagi daripada kerajaan Pas. 

“Tapi Pas kini telah berada di pihak lain, maka mereka mengumumkan tidak bersama kita, itu tidak memberikan apa-apa keputusan kepada kita. Cuma saya katakan bahawa yang pertama, susahkan rakyat, rakyat akan keluar dua kali mengundi,” jelasnya. –UTUSAN

 

 

The post UMNO sudah jangka, yes or no daripada Pas – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *